Pages

NARANDANG

Narandang merupakan sebuah kawasan perkampungan di negeri Sabah yang terletak di mukim Kanibongan, Pitas, Sabah.

Dari segi pentadbiran, Narandang terbahagi kepada empat buah kampung iaitu Kg. Narandang Darat, Kg. Narandang Laut, Kg. Timboi Dagang dan Kg. Ampungoi. Pembahagian kepada empat buah kampung ini hanyalah dari segi pentadbiran kerana pada hakikatnya, penduduk-penduduk di kampung-kampung ini hidup secara bercampur-campur tanpa mengikut persempadanan kampung yang ditentukan. Pemilikan tanah adat juga tidak mengikut sempadan kampung yang ditetapkan. Faktor sejarah penubuhan kampung-kampung yang terlibat memainkan peranan penting dalam hal ini (percampuran dari segi penduduk dan pemilikan tanah) Oleh yang demikian, seorang penduduk Kg. Narandang Darat misalnya tidak mustahil memiliki tanah yang bertaraf tanah adat di Kg. Timboi Dagang. Maka, secara umumnya, keempat-empat kampung ini lebih dikenali sebagai Narandang, kecuali Kg. Ampungoi yang mempunyai identiti tersendiri dan semakin hari semakin terpisah daripada gabungan ini. Dalam keadaan yang lebih formal, gabungan empat buah kampung ini dikenali sebagai G4.

Penduduk

Majoriti penduduk G4 adalah Bangsa Malaysia yang berasal daripada suku kaum Rungus asli. Kewujudan suku kaum selain daripada kaum Rungus lazimnya adalah kesan daripada perkahwinan kecuali di Kg. Ampungoi yang banyak suku kaum lain masuk secara perhijrahan atau pemilikan tanah. Majoriti penduduk G4 juga mempunyai kaitan kekeluargaan di antara satu sama lain. Agama Pagan, atau agama Tradisional merupakan agama yang paling banyak dianuti sebelum kedatangan agama Kristian yang menjadi anutan majoriti pada masa ini.

Secara umumnya, penduduk G4 merupakan sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni. Nilai-nilai murni kehidupan sebuah masyarakat kampung seperti gotong-royong, "rukut" (amalan mengumpul derma kepada orang yang ditimpa kesusahan), tolong-menolong, ziarah-menziarahi, permuafakatan dan sebagainya masih terpelihara dengan baik. Pegangan terhadap "adat kampung", walaupun berada dalam keadaan terancam oleh budaya kehidupan "moden" masih terpelihara buat masa ini.

Sosioekonomi

Sehingga awal tahun 2000-an kebanyakan penduduk G4 berkerja sebagai petani. Penanaman padi secara kecil-kecilan dan menggunakan teknik tradisional telah menjadi sumber ekonomi utama penduduk selama berpuluh-puluh tahun. Penanaman padi yang diusahakan adalah pada tahap "sara diri" yang hanya mampu menampung keperluan penduduk (jika aktiviti pertanian berjalan dengan lancar) untuk satu kitaran pertanian padi (biasanya satu tahun). Boleh dianggar bahawa 90% penduduk G4 masih berada di dalam kategori Miskin Tegar pada masa ini. Walau bagaimanapun, pada masa ini, ekonomi penduduk G4 mula berubah dengan peralihan kepada kegiatan perkebunan getah secara kecil-kecilan sebagai aktiviti ekonomi utama.

Pendidikan

Generasi penduduk G4 yang dilahirkan pada lewat 1970-an dan ke atas kebanyakannya mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sekolah rendah walaupun dengan cabaran hidup yang sukar pada masa itu. Terdapat juga beberapa orang daripada kalangan generasi ini telah berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke tahap pengajian tinggi. Tahap pendidikan penduduk kampung bertambah baik dari semasa ke semasa hasil daripada kesungguhan para ibu bapa menyekolahkan anak-anak walaupun dalam keadaan hidup yang serba kekurangan, terutamanya pada tahun-tahun 70-an, 80-an dan awal 90-an.

Infrastruktur

Narandang dikurniai dengan jalan raya lumpur yang hanya boleh dilalui pada masa-masa tertentu dalam sesuatu tahun. Bekalan elektrik telah sampai ke G4 pada awal tahun 2000-an kecuali Kg. Ampungoi yang sehingga sekarang belum diberi kemudahan ini. Bekalan air sedang dalam proses pembinaan. Tiada sekolah di G4. Terdapat sebuah dewan mini (sekadar cukup untuk menampung kira-kira 50 orang dalam sartu-satu masa) yang tersedia di G4 hasil daripada keprihatinan seorang dermawan Itali. Klinik yang terdekat adalah sejauh 10 kilometer (10 kilometer jalan lumpur) daripada kampung. Pada hujung tahun 2011, Celcom telah berkenan untuk membina sebuah menara telekomunikasi di Narandang dan sekaligus memberi peluang kepada penduduk kampung untuk menikmati kemudahan telekomunikasi telefon bimbit.